Search This Blog

Sunday, March 24, 2013

Peniaga rugi RM4,000, beg tangan dilarikan 'suami isteri'



KOTA MARUDU 24 Mac - Lagak mereka masuk ke kedai seperti suami isteri sambil membawa anak kecil. Rupa-rupanya kehadiran mereka untuk mencuri.
Helah pasangan penyamun itu berjaya menyakinkan seorang pemilik kedai barangan pengantin agar tidak curiga terhadap kehadiran seorang lelaki bersama seorang wanita dan kanak-kanak yang melarikan beg tangan miliknya semasa mereka berkunjung ke premis perniagaannya di Pekan Baru Pitas dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM4,000 setelah wang tunai dan barang kemas disimpan dalam beg tangan itu dilarikan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Isa Yusof berkata, mangsa berusia 40-an menyedari kehadiran seorang lelaki dan wanita serta seorang kanak-kanak lelaki mengunjungi kedainya tetapi tidak berprasangka buruk dan mengesyaki sebarang perbuatan mencurigakan.
"Mangsa hanya menyedari beg tangannya yang mengandungi cincin, kalung, wang tunai dan dokumen penting telah hilang semasa hendak menutup kedainya dan mengesyaki kejadian kecurian itu dilakukan oleh suspek-suspek berkenaan," katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis dan siasatan awal menemui telefon bimbit dipercayai milik suspek di kedai mangsa. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130324/je_04/Peniaga-rugi-RM4000-beg-tangan-dilarikan-suami-isteri#ixzz2OTB5qGM8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment