REMBAU – Seorang remaja berusia 19 tahun dicekup selepas disyaki terlibat kes rogol membabitkan pelajar sebuah sekolah di Seremban.

Jurucakap polis berkata, bapa gadis berkenaan membawa anaknya yang berusia 15 tahun membuat laporan di Balai Polis Seremban pada 15 Mac lalu.

Menurutnya, mangsa sebelum ini keluar dari rumah hampir 10 hari dan bapanya menjumpai anaknya di Senawang.

"Susulan anaknya begitu lama meninggalkan rumah, ayah mangsa menggesa anaknya menceritakan apa yang terjadi sepanjang tempoh anaknya keluar dari rumah.

"Selepas mengetahui anaknya melakukan hubungan seksual dengan suspek yang dipercayai teman lelakinya, ayah mangsa mengarahkan anaknya itu membuat laporan polis," katanya, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Suspek yang tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap di Rembau pada 16 Mac lalu," katanya.