Badion
Badion (kiri) berbincang dengan pemilik ladang berhubung masalah itu.
JERANTUT - Beberapa peneroka Felda Sungai Tekam Utara, Jerantut, berang kerana terpaksa menanggung rugi apabila sebahagian pokok sawit disodok dan ditebang tanpa pengetahuan mereka.

Difahamkan, kerja tersebut dijalankan untuk membina pagar elektrik dan parit bagi menghalangkan gajah liar memasuki tanah rancangan itu.

Peneroka, Ibrahim Mat Yasin, 60, berkata, langkah itu baik, tetapi dia kecewa kerana pihak berkenaan mengambil jalan mudah tanpa berbincang dengan pemilik tanah terlebih dahulu.

Menurutnya, tambahan pula pihak berkenaan bukan sahaja mencantas dahan, malah menyodok dua pokok sawit miliknya yang berusia lebih 10 tahun dan banyak memberikan hasil.

“Mereka sesuka hati masuk ke ladang kami lalu menyodok serta mencantas dahan pokok kelapa sawit. Malah, mereka membuat pengorekan parit tanpa kebenaran.

“Sehubungan itu, saya sudah membuat surat berhubung perkara ini dan meminta pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya termasuk membayar ganti rugi,” katanya.

Seorang lagi pemilik ladang, Abdul Asri Abdul Latif, 58, berkata, pihak berkenaan didapati menjalankan kerja melebihi had sempadan sepatutnya sehingga memasuki ladang milik peneroka.

“Sepatutnya projek berkenaan dijalankan di pagar dibuat sebelum ini dan di sempadan ladang kami. Kerja-kerja menyodok dan membina parit itu juga menyebabkan batu sempadan yang menjadi penanda kawasan, turut hilang,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Felda Sungai Tekam Utara, Badion Onteram pula berkata, pihak berkenaan tidak wajar melaksanakan projek itu tanpa mengadakan perbincangan dengan pemilik ladang.

“Pihak berkenaan dikatakan pernah memasuki ladang itu sebanyak dua kali untuk menjalankan pemeriksaan seterusnya memantau kerja-kerja yang menjejaskan ladang peneroka. Namun, pemilik ladang tidak dipanggil.

“Dengan kerjasama persatuan, pemilik ladang menghantar surat kepada pihak berkenaan pada 2 Februari lalu. Dimaklumkan esok (hari ini), mereka akan datang menemui pemilik ladang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pihak berkenaan tidak mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.