curi motosikal
Pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan untuk melihat motosikal yang tergantung.
KUALA TERENGGANU - Pengguna di laluan utama Darat Batu Rakit menghala ke Tepoh di Kampung Wakaf Chagak, di sini,  gempar  apabila melihat sebuah motosikal yang digantung pada pokok kekabu, di sini.

Tidak cukup menggantung motosikal berkenaan, penduduk turut meletakkan satu nota pada  pokok  dengan mendakwa pemilik motosikal sebagai 'kaki pecah rumah, kaki curi motosikal, kaki curi lembu dan sebagainya'.

Motosikal  dipercayai milik penjenayah yang cuba memecah masuk sebuah rumah penduduk di sini, namun terpaksa membatalkan hasratnya apabila mengetahui tindakanya ketahui penduduk terus melarikan diri tanpa sempat mengambil motosikal  ditinggalkan tidak jauh dari  tempat kejadian.

Menurut seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Din, tujuan penduduk  menggantung motosikal  berkenaan adalah untuk memberi pengajaran kepada penjenayah terbabit, meskipun gagal menangkapnya.

“Penjenayah ini sememangnya diketahui sering terlibat dalam pelbagai kegiatan tidak bermoral di kampung, namun kerana tiada bukti kukuh, dia sering terlepas hukuman.

“Namun, kami ingin memastikan dia (penjenayah) sedar bahawa segala tindakan dan kelakuannya sering menjadi perhatian dan kami akan memastikan dia akan menerima hukuman yang setimpal nanti,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sinar Harian turut difahamkan penjenayah terbabit yang juga penduduk di kampung berkenaan sering keluar masuk penjara  itu masih mengulangi kesalahan sama.

Tindakan  nekad penduduk yang menggantung motosikal pada sebatang pokok di jalan utama adalah untuk memberi peringatan kepada penjenayah yang lain bahawa penduduk sememangnya sentiasa bersatu hati bagi memerangi gejala tidak bermoral terutamanya kes pecah rumah yang sering berlaku di kampung berkenaan.