Search This Blog

Sunday, March 24, 2013

Pemilik kereta dakwa jadi mangsa sindiket



Micheal Chong (tengah) bersama ahli persatuan pengedar kereta dan kredit persatuan syarikat Kuala Lumpur & Selangor, menunjukkan surat pelepasan dari kastam dan laporan polis dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
KUALA LUMPUR 21 Mac - Keliru dan terperanjat. Itulah situasi dialami oleh beberapa pemilik kenderaan apabila kereta yang dipandu mereka tiba-tiba ditahan dan disita oleh Jabatan Kastam Diraja (Kastam) atas alasan tidak menjelaskan duti kereta.
Rata-rata mangsa mendakwa tidak mengetahui bahawa kereta yang dibeli itu sebenarnya dibawa dari Langkawi untuk dijual di ibu negara, memandangkan harga yang ditawarkan di pulau tersebut jauh lebih murah kerana bebas duti.
Pemilik kenderaan mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan sindiket yang dianggotai oleh individu tertentu dalam beberapa agensi kerajaan dan syarikat pengedar kereta terpakai.
Mangsa hanya menyedari diperdayakan setelah kereta yang dibeli tiba-tiba disita setelah dua tahun menggunakannya.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas lebih 30 kes dilaporkan diterima oleh Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Pinjaman Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan kereta terpakai yang dibeli oleh mangsa daripada pengedar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Sehubungan itu, persatuan tersebut hari ini hadir ke pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, Jalan Ampang di sini, meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat di sebalik sindiket tersebut.
Presidennya, Khoo Kah Jin berkata, tidak menjadi kesalahan jika pengedar mahu menjual kereta yang dibeli di Langkawi tetapi penukaran nombor pendaftaran dan proses dokumentasi yang lain perlu dijalankan mengikut prosedur.
"Ada di antara pengedar yang saya temui memberitahu bahawa mereka telah membuat dokumentasi mengikut prosedur seperti menjelaskan duti kereta kepada Kastam.
"Jika duti tidak dijelaskan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan meluluskan nombor pendaftaran tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, kereta telah pun diserahkan kepada pembeli tetapi selepas tempoh setahun hingga dua tahun, kereta tiba-tiba disita oleh Kastam atas alasan tidak menjelaskan duti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang mangsa yang dikenali sebagai Chong, 30-an berkata, kereta Honda Stream berharga RM140,000 yang dibeli dari sebuah pengedar kereta terpakai dua tahun lalu di Kajang telah disita oleh Kastam pada sambutan Tahun Baru Cina lalu.
"Saya amat terkejut kerana apa yang saya tahu, segala dokumen pembelian telah lengkap termasuklah pinjaman bulanan di bank juga diluluskan tetapi bagaimana kereta saya boleh disita dengan alasan duti kereta tidak dijelaskan," katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata, beliau telah meminta pihak berkaitan untuk menyiasat kes berkenaan kerana dipercayai wujud sindiket yang memanipulasi dokumen perjanjian pembelian kereta terpakai di antara pengedar, Kastam dan JPJ.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130322/wk_02/Pemilik-kereta-dakwa-jadi-mangsa-sindiket#ixzz2OSz9cxtP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment