Search This Blog

Monday, March 4, 2013

Pembeli ditipu RM12,500, bank tarik kereta


Petaling Jaya: Seorang lelaki diperdaya melalui urusan jual beli kereta terpakai di Sri Damansara, di sini, apabila kenderaan yang baru sebulan dibeli bukan saja ditarik balik pihak bank, malah ia diambil semula penjualnya selepas mangsa menyerahkan deposit RM12,500, baru-baru ini.
Menurut sumber, mangsa berusia 27 tahun membeli sebuah kereta Proton Perdana terpakai menerusi dua lelaki pada akhir Disember tahun lalu.

“Mangsa membayar RM12,500 kepada lelaki terbabit sebagai pendahuluan selain menyambung bayar ansuran kereta berkenaan.
“Baru sebulan mangsa menggunakan kereta itu, ia ditarik pihak bank berikutan pemilik gagal membayar ansuran,” katanya.

Katanya, mangsa menghubungi semula pihak bank bagi mendapatkan status sebenar kereta itu dan mengetahui berapa lama ansurannya tertunggak kerana dia baru membelinya.

“Namun, mangsa terkejut apabila pihak bank memaklumkan kereta itu sudah dituntut dipercayai oleh dua lelaki terbabit.
“Mangsa menghubungi lelaki terbabit untuk mendapatkan semula keretanya, namun mereka memberi pelbagai alasan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, kelmarin, selepas menyedari diperdaya apabila penjual kereta terbabit sering mengelak untuk berjumpa.

No comments:

Post a Comment