GRO nekad panjat siling
Sebahagian GRO yang dicekup di sebuah pusat hiburan awal pagi semalam. Gambar kecil: Siling pecah apabila seorang GRO terjatuh selepas memanjat siling untuk meloloskan diri
PUCHONG – Menangis teresak-esak, meminta rokok dan air minuman. Itu antara ragam kira-kira 21 pegawai khidmat pelanggan (GRO) warga China dan Vietnam ketika dicekup di sebuah pusat hiburan di Taman Equine dan Puchong Jaya, di sini, awal pagi semalam.

Lebih mengejutkan salah seorang daripada mereka yang berpura-pura ke tandas cuba meloloskan diri dengan bertindak nekad memanjat siling ke tingkat atas premis terbabit sebelum terjatuh dan berjaya diberkas semula.

Sinar Harian difahamkan, premis sama di Puchong Jaya itu pernah beberapa kali diserbu kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Aktiviti tidak bermoral yang dijalankan termasuk pelanggan perlu membayar RM10, RM100 atau RM300 untuk dihidangkan dengan tarian mengghairahkan oleh GRO yang berpakaian seksi.

GRO yang rata-rata berusia antara 19 hingga lewat 20-an itu akan menari mengikut citarasa dimahukan pelanggan mereka selain berperlakuan tidak senonoh dengan bercium dan berpelukan.

Dalam serbuan 30 anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bermula jam 10.30 malam di dua premis berasingan tidak mempunyai lesen itu, peralatan menjalankan hiburan dirampas manakala premis disita.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, premis terbabit pernah beberapa kali diserbu polis.

Katanya, MPSJ juga mengambil tindakan sama dua minggu lalu namun pengusaha berdegil dan membuka kembali perniagaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya ada ejen khas ‘membekalkan’ pekerja wanita warga asing dengan segera kepada pengusaha pusat hiburan apabila pekerja lama ditahan pihak berkuasa.

Jelasnya, dalam pemeriksaan dilakukan, kebanyakan GRO terbabit tidak mempunyai permit kerja dan ada di antaranya menggunakan pas pelajar yang disahkan oleh institusi pengajian swasta (IPTS) tetapi tidak diketahui wujud atau tidak.

Menurutnya, tindakan diambil di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Selangor 1995 (2001) kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM25,000.
“Warga asing yang ditahan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi seperti ini akan dijalankan berterusan bagi mengekang kegiatan tidak bermoral,” katanya.