KUALA LUMPUR - Seorang pemandu peribadi hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap 11 pertuduhan pecah amanah berhubung pembayaran duti setem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan lebih RM100,000, dua tahun lepas.
  
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap R. Arnasalam, 44.
  
Bagaimanapun mahkamah melepaskan dan membebaskan Arnasalam daripada dua tuduhan memalsukan sijil setem LHDN selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadapnya.
  
Mahkamah menetapkan 19 Mac ini untuk mendengar tertuduh membela diri.
  
Bagi 11 pertuduhan pecah amanah tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan tidak membuat pembayaran duti setem yang kesemuanya bernilai RM110,524 kepada LHDN sedangkan dia telah diamanahkan berbuat demikian oleh pelanggan firma Rajendran & Deen.

Arnasalam yang bekerja sebagai kerani penghantaran surat ketika kejadian, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat firma itu di No 30A, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, Brickfields di sini pada 21 Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.
  
Tertuduh turut didakwa memalsukan dua sijil setem LHDN dengan menyerahkannya kepada peguam Jessie Yong Siao Yoong, 35, bagi membuktikan dia (Arnasalam) telah membuat pembayaran duti setem itu di tempat yang sama pada 1 Julai dan 7 Julai 2011.
  
Dia yang diwakili peguam M. Madhavan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal.  - Bernama