Search This Blog

Wednesday, March 20, 2013

Patah tangan langgar lembu


Kuala Terengganu: Angkara pemilik ternakan tidak mengikat lembu peliharaannya, seorang lelaki patah kedua-dua tangan dan cedera parah di muka selepas motosikal dinaiki merempuh haiwan itu di Kampung Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, Pengawal Keselamatan Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali, Khairul Dzulkifli, 30, yang baru pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Kampung Mengabang Lekor, di sini, tersembam atas jalan sebaik merempuh dua lembu melintas tiba-tiba di laluan itu.


Pengawal keselamatan Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali itu berkata, dia tidak sempat membrek kerana ternakan itu melintas tiba-tiba menyebabkan dia tercampak sebelum tersembam di laluan berkenaan.

“Sebaik merempuh lembu itu, saya terus tidak sedarkan diri dan kebetulan ketika itu sepupu saya berada di tempat kejadian bergegas membantu menghantar saya ke Klinik Kesihatan Mengabang Lekor.


“Saya bergegas mencari pemilik lembu berkenaan, namun tiada seorang pun daripada penduduk berhampiran mengakuinya,” katanya ketika ditemui di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.


Khairul berkata, sebaik membuka mata dia sudah berada di klinik dan terasa kedua-dua tangannya kebas serta muka berlumuran darah.

Sementara itu, isterinya, Norahida Mohammad, 25, berkata, suaminya menerima lebih 30 jahitan pada muka dan doktor bercadang memasukkan besi bagi membetulkan semula pergelangan tangan suaminya yang patah itu. dia bergegas ke klinik berkenaan selepas dimaklumkan kejadian menimpa suaminya oleh saudara maranya.

No comments:

Post a Comment