Abdul Majid Mohd Ali
Abdul Majid Mohd Ali
KLUANG - Seramai 42 pendatang asing tanpa izin (Pati) diberkas dalam operasi bersepadu hujung minggu lalu yang diadakan di sekitar daerah ini.

Operasi bersepadu itu membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia, Rela dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bagi menangani masalah kemasukan Pati tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, operasi yang dilaksanakan lebih tertumpu di kawasan kilang, ladang dan rumah kongsi di sekitar Pekan Kahang, Simpang Renggam dan bandar Kluang.

“Hasil daripada operasi dua hari yang dijalankan, polis berjaya menahan 42 Pati terdiri daripada 40 lelaki serta dua wanita warga Indonesia, Myanmar dan Kemboja.

“Kesemua mereka yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di IPD Kluang, semalam.

Abdul Majid berkata, walaupun proses pemutihan telah dilaksanakan pada tahun lalu, namun masih terdapat Pati kembali semula ke daerah ini untuk mencari kerja.

“Operasi ini dijalankan setelah menerima aduan serta maklumat orang awam tentang kewujudan Pati di tempat mereka selain banyak menimbulkan gangguan sosial kepada masyarakat setempat.

“Pihak kami juga akan sentiasa memantau setiap kawasan perindustrian serta perladangan di dalam daerah ini dari masa ke semasa agar kebanjiran Pati ini tidak terus menjadi masalah utama kepada masyarakat khasnya dan negara amnya,” katanya.

Abdul Majid mengharapkan agar masyarakat awam yang mempunyai maklumat tentang kehadiran Pati di kawasan kediaman mereka melaporkan segera kepada pihaknya untuk tindakan lanjut. 

“Kesemua Pati tersebut direman 14 hari untuk pengesahan dokumen dan akan didakwa sekiranya didapati mempunyai kesalahan,” katanya.