JERTIH – Hasrat seorang murid Tahun Tiga untuk mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Besut berhampiran Taman Teratur, di sini berakhir tragedi apabila dia lemas dalam kejadian, petang kelmarin.

Ahmad Akid Syawal Aznan, 9, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah pergi ke sungai itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya bersama lima rakannya, kira-kira jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa tidak pandai berenang mandi di kawasan air dalam dan dikatakan lemas.

Menurutnya, salah seorang rakannya telah menariknya ke tebing sungai sebelum pulang memaklumkan ibu bapa mangsa yang tinggal di Kampung Gaung.

“Apabila bapa mangsa ke lokasi kejadian, dia melihat anaknya terbaring dalam keadaan tidak bernafas di tebing sungai sebelum dikejarkan ke Hospital Besut," katanya.

Namun, Kamaruddin berkata, anak keempat daripada enam beradik itu disahkan telah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.