Search This Blog

Saturday, March 23, 2013

Lelaki seludup 9.3kg dadah ditahan

Lelaki  seludup 9.3kg dadah ditahan
Zulkurnain (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang disorokkan dalam bagasi di Ibu Pejabat KDRM Johor, semalam. Johor Bahru: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas sebanyak 9.307 kilogram (kg) ketamin bernilai RM325,745 selepas menahan seorang lelaki warga India di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai, Rabu lalu.

Suspek berusia 45 tahun ditahan jam 4 petang sebaik tiba dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas transit di Singapura, setelah mesin pengimbas mengesan imej meragukan dalam bagasi dibawanya.
Timbalan Pengarah KDRM Johor, Zulkurnain Mohamed Yusuf, berkata pihaknya menemui lapan beg komputer riba dalam bagasi itu sebelum pemeriksaan rapi menemui 64 uncang kain hitam yang dijahit di lapisan pelapik setiap beg berkenaan.


“Setiap uncang mengandungi serbuk putih dipercayai ketamin. Kami turut menemui serbuk putih sama tersembunyi di sebalik pelapik beg bagasi milik suspek,” katanya di Ibu Pejabat KDRM Johor, di sini, semalam.

Zulkurnain berkata, siasatan awal mendapati suspek menaiki penerbangan dari India bersendirian sebelum transit di Singapura, KLIA dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail.

Kali kedua masuki Malaysia

Ini kali kedua suspek memasuki Malaysia tahun ini selepas ke Kuching, Sarawak, bulan lalu.
Suspek kini direman 12 hari hingga 1 April ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita akan menjalankan siasatan bagi mengetahui sumber sebenar dadah itu,” katanya.

Zulkurnain turut meminta kerjasama orang ramai menyampaikan maklumat mengenai sebarang kegiatan penyeludupan termasuk dadah dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.

“Ganjaran akan diberi kepada individu yang menyalurkan maklumat sehingga berjaya membawa kepada penangkapan penjenayah dan rampasan dadah,” katanya sambil menambah identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

No comments:

Post a Comment