Lelaki dicekup selepas 2 jam merompak
BMW milik seorang ahli perniagaan wanita yang dilarikan penjenayah sebelum ditemui semula kirakira dua jam selepas kejadian di Kampung Manek Urai Lama, dekat Kuala Krai.
Abdul Rahman Ja’apar
Abdul Rahman Ja’apar
KUALA KRAI - Tindakan pantas polis berjaya memberkas seorang pemuda berusia 23 tahun, kira-kira dua jam selepas lelaki terbabit melarikan sebuah kereta mewah di Jalan Halimah, Guchil, dekat sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi apabila penjenayah terbabit memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan wanita berusia 35 tahun dan melarikan kereta BMW milik mangsa.

Turut dilarikan wang tunai hampir RM5,000; lima telefon bimbit; lima cincin; komputer riba dan dokumen penting milik mangsa yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM300,000.

Suspek dipercayai memecah masuk rumah itu melalui pintu belakang dan menggeledah rumah mangsa sebelum menemui kunci kereta BMW.

Mangsa sedang tidur dikatakan tersedar apabila mendengar bunyi enjin kereta dihidupkan namun tidak sempat berbuat apa-apa sebelum penjenayah melarikan kenderaan itu.

Polis yang menerima laporan daripada mangsa sejurus kejadian melancarkan gerakan memburu penjenayah terbabit sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek di Kampung Manek Urai Lama, dekat sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar mengesahkan kejadian dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun sama.