Search This Blog

Wednesday, March 20, 2013

Leher isteri diacu parang, rugi RM5,000



20 Mac 2013
KOTA TINGGI - “Ketika itu saya tidak mampu berbuat apa-apa apatah lagi pencuri tersebut mengacukan parang di leher saya,” kata ibu kepada lima orang anak, Salinah Sadikin, 46, ketika menceritakan detik-detik cemas kediamannya di Felda Lok Heng Selatan di sini dimasuki pencuri dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama anak serta cucunya sedang tidur di bahagian ruang tamu rumah manakala suaminya tidur di dalam bilik.

“Pencuri masuk ke rumah kami melalui tingkap di bilik utama yang dipotong besinya. Kebetulan bilik tersebut kosong dan tidak ada siapa yang tidur di bilik itu.

“Anak-anak dan cucu tidak sedar ketika lelaki itu masuk ke rumah kerana masing-masing kepenatan baru pulang dari kenduri kahwin termasuklah saya. Namun ketika kejadian itu saya tersedar kerana terdengar bunyi orang berjalan.

“Malah saya dapat melihat lelaki tersebut yang memakai baju T-shirt hitam berseluar jeans dan berkulit putih. Mukanya pula ketika itu tidak ditutupi apa-apa. Sebaik sahaja terjaga lelaki tersebut terus mengacukan parang lalu menyuruh saya diam.

“Saya yang ketika itu risau akan keselamatan diri hanya mengikuti sahaja arahan lelaki terbabit. Bagaimanapun sebaik sahaja lelaki itu beredar, saya terus menjerit dan mengejutkan ahli keluarga yang lain. Ketika itu badan saya turut menggigil kerana ketakutan,” katanya.

Suaminya yang juga peneroka Felda, Musaid Sani, 49, berkata, ekoran kejadian itu mereka terpaksa menanggung kerugian hampir RM5,000 apabila kesemua wang berjumlah RM1,300, sebuah komputer riba, tujuh buah telefon bimbit serta dua bentuk cincin emas yang ada di dalam rumah itu berjaya dibawa lari.

“Saya sedar dari tidur sebaik sahaja terdengar jeritan isteri. Ketika itu juga saya dapati telefon bimbit serta wang kertas dalam dompet sudah hilang, yang tinggal hanyalah duit syiling sahaja.

“Kami juga turut mengejutkan jiran-jiran dan rupa-rupanya bukan rumah kami sahaja yang dimasuki pencuri tetapi rumah salah seorang jiran kami juga dirompak. Saya difahamkan mereka kerugian kira-kira RM2,000 dalam kejadian itu,” katanya.

Jelasnya, kejadian itu bukanlah insiden pertama buat mereka sekeluarga kerana pada 2008 rumahnya pernah dimasuki pencuri dan kerugian hampir RM2,000.

“Pada kejadian itu pencuri tersebut masuk ke rumah kami melalui pintu belakang dan ketika itu kami semua tidak sedar sehinggalah pada waktu pagi,” katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis Bandar Penawar.

No comments:

Post a Comment