Anggota polis mengangkat unit komputer yang disita.
Anggota polis mengangkat unit komputer yang disita.
BATU BERENDAM - Kerana terlalu leka bermain judi Internet, seramai 14 orang termasuk dua wanita tidak sempat melarikan diri apabila kafe siber diserbu penguatkuasa di Batu Berendam dekat sini, malam kelmarin.

Kesemua kaki judi berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) kira-kira 12.10 tengah malam membabitkan dua kafe siber di sini.

Kedua-dua premis bersebelahan di tingkat dua bangunan rumah kedai itu, salah satunya mempunyai pintu kecil sebagai laluan rahsia kepada pelanggan.

Pegawai Turus D7 negeri, Asisten Superintendan Azhar Abdul Rahim berkata, empat lelaki iaitu penjaga premis turut ditahan dalam operasi dikenali Ops Dadu yang disertai lima anggota diketuai Inspektor Salim Ahmad.

“Ketika serbuan, seramai 14 individu warga tempatan termasuk dua wanita dipercayai sedang berjudi di dalam premis berkenaan. Bagaimanapun, keadaan terkawal kerana mereka tidak bertindak melarikan diri dan ditahan untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut di salah sebuah premis, polis turut menemui lebih 10 hamper dipercayai dijadikan hadiah untuk pemenang dalam operasi yang dijalankan kira-kira lima jam,” katanya di sini, semalam.

Azhar berkata, pihaknya turut merampas 38 set komputer termasuk unit pemprosesan (CPU) dan 18 individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Banda Hilir untuk siasatan lanjut kes di bawah Akta Rumah Judi terbuka 1953.