Sum Chang Keong
Sum Chang Keong
IPOH – Seorang anggota polis cedera selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar oleh sebuah kereta pelbagai guna (MPV) ketika ingin kembali bertugas di Balai Polis Kampung Tawas di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Konstabel Jamari Osman, 22, sedang berhenti sebelum membelok ke kanan, dirempuh oleh kenderaan dipandu seorang lelaki yang ingin membelok ke arah sama.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, insiden itu menyebabkan anggota terbabit mengalami kecederaan di muka dan calar di beberapa bahagian badan.

“Beberapa anggota yang berada di balai Kampung Tawas membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis bacaan Yaasin dan Tahlil sempena Hari Polis ke-206 di Balai Polis Pekan Baru di sini, kelmarin.

Menurutnya, pemandu kereta berusia 30-an merupakan seorang peniaga telah diambil keterangan selepas membuat laporan polis.

“Anggota terbabit masih mendapat rawatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.