Search This Blog

Saturday, March 23, 2013

Kes bunuh Sosilawati: Dengar hujah 9, 10 Mei



Keputusan bicara kes bunuh Sosilawati, 3 rakan 23 Mei

Shah Alam: Selepas 110 hari perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya berlangsung, kes pembelaan akhirnya ditutup semalam.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir menetapkan 9 dan 10 Mei ini untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan pada 23 Mei ini.

Seramai 108 saksi pendakwaan dan 30 saksi pembelaan memberi keterangan, manakala 742 barangan kes serta lebih 6,000 dokumen dikemukakan di mahkamah sepanjang prosiding yang bermula pada 4 Julai 2011.

Tertuduh, peguam N Pathmanabhan, 44, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 21; R Matan, 22, dan R Kathavarayan, 32, dituduh membunuh Sosilawati, 47; pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka melakukan kesalahan itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Soal balas saksi
Dalam prosiding semalam, peguam Manjeet Singh Dhillon menyoal balas saksi terakhir pembelaan, peguam Roslie Sulle, 36, membabitkan pengakuan anak guamnya, K Sarawanan, 22, terhadap empat tuduhan menghilangkan bukti dengan cara membakar mayat Sosilawati, Kamaruddin, Ahmad Kamil dan Noorhisham antara jam 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos 2010.

Manjeet yang membawa sebuah tong kecil dilihat menuangkan sesuatu ke dalam tong berkenaan dan menyerahkan tong itu kepada Roslie yang menyambung keterangannya semalam.

“Sekarang, awak akan bertanyakan kepada saya, apa itu? Saya akan mengatakan kepada awak, semalam, di rumah saya, ada satu pergaduhan. Mann Singh dan Mahinder Singh (watak fiksyen yang diada-adakan olehnya) menari.

“Saya tidak sukakannya dan saya pukul mereka dan saya bakar mereka. Saya kemudian berikan ia kepada awak dan awak buangkannya.

“Kemudian awak didakwa. Jadi awak ada melakukan kesalahan. Apa kesalahan awak itu,” katanya.

Bagaimanapun, saksi itu tidak dapat menjawab soalan Manjeet itu.

Roslie kemudian berkata, pada tarikh berkenaan, peguam M Puravelan yang memberi tumpuan kepada fakta kes, manakala beliau sendiri hanya melakukan mitigasi.

No comments:

Post a Comment