Kereta baru disimbah cat
Tuck Foo (dua kiri) bersama Kon Yin (dua kanan) menunjukkan gambar kesan simbahan cat merah yang dilakukan dua lelaki bermotosikal pada pagi Selasa lalu.
Kereta baru disimbah cat
Keadaan kereta Proton Wira yang disimbah cat merah dalam kejadian Selasa lalu.
IPOH - Seorang pemandu teksi menerima kejutan apabila dua lelaki bermotosikal menyimbah cat merah ke atas kereta terpakai jenis Proton Wira yang baru sahaja dibelinya pada awal pagi, Selasa lalu.

Mangsa, Yim Tuck Foo, 47 berkata, dia baru membeli kereta terbabit sekitar dua bulan lalu dan sepanjang 17 tahun bekerja sebagai pemandu teksi, ini merupakan kejadian kedua berlaku ke atas kenderaan miliknya.

Menurutnya, sebelum ini teksi miliknya turut disimbah cat merah dalam kejadian yang berlaku pada jam 11 malam, 17 Mac lalu.

“Saya hairan kenapa rumah dan kenderaan saya menjadi sasaran sedangkan kami sekeluarga tidak pernah berhutang dengan mana-mana pihak,” katanya yang mengesyaki perbuatan itu dilakukan ceti haram atau ah long.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Tuck Foo sedang bersiap-siap untuk tidur sebelum terdengar bunyi motosikal berhenti di hadapan rumahnya di Pengkalan, di sini.

“Saya pergi ke tingkap dan melihat dua orang lelaki berada di hadapan pintu pagar. Salah seorang daripada mereka membaling sesuatu ke arah rumah.

“Dalam ketakutan saya sergah mereka dan kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri dalam sekelip mata. Semua berlaku dengan pantas menyebabkan saya tak sempat mencatat nombor plat motosikal yang dinaiki," katanya.

Menurut Tuck Foo, selepas kejadian itu, dia keluar untuk melihat keadaan rumah dan terkejut apabila melihat kereta yang baru dibeli disimbah cat merah.

Katanya, dinding rumahnya turut terkena tompokan cat yang disimbah dua lelaki terbabit dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pasir Putih pada hari yang sama demi keselamatan keluarga.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan MCA dan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin berkata, sepucuk surat akan diutuskan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berhubung kejadian berkenaan.

"Saya akan minta bantuan ketua polis daerah Ipoh untuk menyiasat perkara ini dengan segera," katanya.