Kepala murid perempuan kena peluru besi
Erdina yang cedera di kepala menerima rawatan di Hospital NCI Nilai.
SEREMBAN – Seorang murid perempuan tahun 4 di sebuah sekolah dekat Nilai, di sini, cedera di kepala selepas terkena balingan bola peluru besi ketika menjalani latihan sukan di sekolahnya, petang kelmarin.Erdina Ezalia Earman Eza, 10, mengalami pendarahan beku di kepala dan kini dirawat di Hospital NCI Nilai, di sini.
Menurut datuk mangsa, Ali Dina, 62, kejadian berlaku kira-kira 5 petang ketika cucunya sedang melakukan latihan sukan di padang sekolah.

“Ketika kejadian, kesemua murid sedang berehat selama lima minit di kawasan padang sekolah.

“Sekumpulan murid perempuan lain yang sedang bermain bola peluru besi itu telah membaling ke arah sesama mereka, menyebabkan satu daripada balingan itu tersasar lalu terkena ke kepala cucu saya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ali berkata, cucunya menjerit kesakitan dan menangis sejurus terkena bola peluru besi itu sebelum kejadian itu diketahui seorang guru lelaki yang dipertanggungjawabkan mengawal pelajar di kawasan padang.

“Guru berkenaan merawat cucu saya dengan menuam kepala dengan ais dan meletakkan minyak gamat.

“Tapi, guru berkenaan membiarkan cucu saya pulang ke rumah dengan menaiki bas sendirian meskipun cucu saya masih lagi berasa sakit dan tidak selesa di kepala,” katanya.

Dia yang tinggal di Desa College, Bandar Baru Nilai, di sini, berkata, sebaik turun daripada bas di hadapan rumah, cucunya masih menangis dan meraung kesakitan.

“Anak saya kemudian melihat kepala cucu saya dan kelihatan bengkak di bahagian belakang kepala,” katanya.

Menurutnya, dia segera membawa cucunya itu ke hospital sebelum doktor melakukan pemeriksaan dan membuat imbasan.

"Doktor memberitahu terdapat darah beku di kepala cucu saya. Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak sekolah, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang penjelasan tentang perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut Ali, dia kesal apabila guru sukan terbabit tidak memaklumkan insiden tersebut kepadanya dan juga ibu bapa Erdina.

“Sepatutnya, guru terbabit perlu memaklumkan perkara ini kepada saya kerana sudah melibatkan kecederaan.

“Saya difahamkan guru tersebut membiarkan cucu saya pulang sendirian kerana mempunyai urusan peribadi yang perlu didahulukan.

“Ini tidak patut berlaku kerana sebagai guru yang dipertanggungjawabkan, dia perlu memastikan keselamatan cucu saya terlebih dahulu,” katanya.