Search This Blog

Saturday, March 23, 2013

Kempunan miliki kereta



“Dia sebelum ini beria-ia memaklumkan mahu memiliki sebuah kereta dalam masa terdekat, namun hasrat itu tidak kesampaian,” kata Che Mah Derahman, 49, kakak tiri kepada Mat Rahim Hamzah, 29, yang maut selepas lori dipandunya terbabas di Kilometer 116.5 Jalan Jeli-Gerik, dekat sini, tengah malam kelmarin.

Kejadian jam 12 tengah malam itu turut menyebabkan kelindannya, Wan Abd Azis Wan Husin, 47, dari Taman Sri Jelatok, Tanah Merah, terbunuh selepas lori lima tan yang sarat muatan gelung dawai itu terbabas sebelum terbalik.


Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.

Che Mah berkata, dia sempat bertemu arwah pada malam Rabu lalu sebelum adik tirinya itu bertolak dari rumah di Kampung Padang Kijang, Alor Pasir, Tanah Merah ke Alor Setar, Kedah untuk mengambil bekalan gelung dawai di sana.


Katanya, dia juga berpesan kepada Mat Rahim supaya memandu dengan berhati-hati dan pulang dalam keadaan selamat.


“Saya sempat berjumpa arwah sebelum dia bertolak ke Kedah mengambil barang untuk dihantar ke kilang tempatnya bekerja di sini. Saya cuma mengingatkannya supaya jangan lalai ketika memandu.

“Sebelum kejadian saya menyedari dia agak pendiam berbanding beberapa hari sebelum itu.


“Dia juga beria-ia mahu memiliki kereta dan mungkin ia petanda dia akan pergi selama-lamanya,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Jeli sebelum dituntut keluarga masing-masing.


Pegawai Bomba Kanan Satu, Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Mat Yusoff Hamat berkata, pihaknya yang bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera dan mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.


“Namun, sebaik tiba kami dapati kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia akibat tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ).

No comments:

Post a Comment