Kelindan maut dihempap lori
Anggota bomba mencari jalan untuk mengeluarkan mangsa yang terhempap di bawah lori.
LEMBAH BERINGIN - Gara-gara cuba mengelak gelung PVC di tengah jalan, sebuah lori membawa muatan peti besi terbalik merintangi Lebuh raya Utara dan Selatan.

Akibat kejadian itu, salah seorang kelindan maut dihempap lori terbabit, pemandunya patah tulang bahu manakala seorang wanita nyaris maut dilanggar ketika dia turun melihat kejadian yang turut menimpanya.

Kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 407.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh, kira-kira jam 12.30 pagi semalam yang melibatkan tiga kenderaan dari kedua-dua hala.

Pemandu lori terbabit, M Jaya Balan, 37, berkata, ketika kejadian dia bersama dua kelindannya dalam perjalanan daripada Subang USJ menghala Jalan Kampar, Ipoh.

“Kawasan ini gelap. Saya nampak ada objek besar di lorong tengah dan cuba mengelak namun terlanggar lalu terseret beberapa meter sebelum terbalik.

“Laluan berselekoh dan menuruni bukit menyebabkan lori kami terbalik di tengah besi pembahagi jalan dan memasuki laluan sebelah (bertentangan),” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jaya Balan berkata, kemalangan itu menyebabkan dia mengalami patah tulang bahu kanan dan salah seorang kelindannya, Arpal Singh, 28, cedera di belakang badan.

Bagaimanapun, seorang lagi kelindannya, R Chandra Chaseran, 51, maut akibat dihempap kepala lori terbabit.

“Saya dapat keluar bersama Arpal daripada celah pintu dan cuba selamatkan dia (mendiang).

“Kami panggil dia beberapa kali tapi tidak menyahut dan cuba tarik dia keluar tapi dia tersepit,” katanya.

Sementara itu, menurut saksi, dua lagi kenderaan yang datang dari arah Ipoh menghala Kuala Lumpur gagal mengelak peti besi simpanan tersebut yang jatuh di lorong kanan laluan bersebelahan menyebabkan berlaku satu lagi kemalangan.
Mangsanya, Ravinda Kisva, 38, dan Ana Asyidah Md Taib berumur lebih kurang 40-an yang cedera dikejarkan ke Hospital Slim River.