KUALA TERENGGANU - Tiga dari satu keluarga mati lemas di Pantai Chendering di sini semalam ketika keluarga berkenaan serta sanak saudara berkelah di kawasan pantai.
Insiden pada kira-kira 6.30 petang itu meragut nyawa Adam Daniel Mohd Hafiz, 7; bapanya Mohd Hafiz Harun, 32; dan bapa saudaranya Saifuddin Harun, 46.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Adam Daniel dilaporkan lemas ketika sedang mandi di pantai berkenaan sebelum bapa dan bapa saudaranya itu cuba menyelamatkan mangsa namun usaha itu gagal dan mereka turut mengalami kesulitan di air.
Berikutan itu, dua lagi saudara dari keluarga berkenaan Burhanuddin Helmi Harun, 43, dan Idzham Tayib, 41, turut serta membantu bagaimanapun gagal menyelamatkan mangsa-mangsa itu.
Burhanuddin dan Idzham Tayib kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi bomba dan sebuah jentera enam anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa dari kawasan pantai.
Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Terengganu Kamerul Bieza Mohd Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke HSNZ untuk bedah siasat.  - Bernama