curi kabel
Kecurian kabel menyebabkan berlaku gangguan elektrik.
KOTA BHARU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) rugi hampir RM500,000 akibat kecurian kabel yang berleluasa di kawasan pencawang elektrik di sini, Tumpat dan Pasir Mas, sejak awal tahun ini.

Pemangku Pengurus Besar TNB Kelantan, Azman Abdullah berkata, antara 30 dan 40 pencawang mengalami masalah kecurian kabel itu, dengan setengah kawasan diceroboh lebih daripada sekali.

“Di Kota Bharu sahaja, kecurian kabel berlaku di 16 pencawang, manakala di Pasir Mas 12 pencawang dan di kawasan Tumpat, lapan. Terdapat dua kawasan berlaku kes berulang.

“TNB kini giat menjalankan rondaan dari semasa ke semasa, tetapi kerjasama pelanggan dan penduduk kampung berdekatan sangat diperlukan untuk melaporkan segera (kepada pihak berkuasa),” katanya.

Azman, yang juga Ketua Jurutera TNB negeri berkata, kejadian berulang berlaku di Taman Kasjaria, Kubang Kerian iaitu dalam tempoh 24 jam, manakala di Parit Cina, Salor berlaku dua kali pencerobohan dalam masa dua minggu.

Beliau berkata, anggaran kerugian atas kecurian pada 36 pencawang terbabit kira-kira RM500,000 di peringkat TNB, namun pada peringkat pelanggan, ia masih dalam penilaian untuk menggantikan tuntutan ganti rugi barangan elektrik kegunaan mereka.

“Pihak TNB dapat mengesan pencerobohan kabel ini apabila berlaku kejadian gangguan elektrik di satu-satu lokasi.

“Kecurian kabel menyebabkan gangguan secara keseluruhan dan boleh merosakkan peralatan pelanggan,” katanya.

Katanya, penduduk kampung boleh mengetahui kerja penyelenggaraan dijalankan kakitangan TNB berdasarkan notis yang diletakkan pada setiap pencawang terlibat.