Hobi pelik pemandu lori
Harun menunjukkan lampu hiasan yang dirampas selepas menahan pemandu lori di Tangkak di sini.
LEDANG - Polis menahan seorang pemandu lori kerana terlibat dengan tiga kes curi lampu hiasan serta set meja di tiga premis perniagaan di sekitar bandar Tangkak, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, hasil rompakan itu pemilik premis kerugian hampir RM3,000 dan suspek berjaya ditahan pada jam 12.30 pagi di rumahnya di Tangkak, di sini.

“Ketika ditahan, polis menemui lapan lampu silinder, tiga lampu hiasan dinding serta satu set meja makan kayu yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Polis percaya, suspek mencuri semua barangan itu untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk dijual kepada pihak ketiga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, kelmarin.

Menurut Harun, lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau namun ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis heroin.

"Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan berulang-alik menggunakan motosikal jenis skuter untuk mengangkut kesemua barangan curi itu.

“Dia dipercayai berulang-alik melebihi empat kali untuk membawa barangan berkenaan termasuk mengangkut meja kayu serta empat kerusi.

“Bagaimanapun, perbuatan lelaki itu berjaya dirakam  kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pemilik di luar salah sebuah premis perniagaan berkenaan,” katanya.

Katanya, hasil rakaman itu telah memudahkan pihak polis untuk mengesan dan menjejaki suspek yang mempunyai hobi pelik iaitu menyimpan barangan hiasan hasil daripada kegiatan mencurinya.

“Lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.