Dua maut van terjunam ke sungai
Anggota Bomba dan Penyelamat serta anggota JPA mengeluarkan mayat mangsa dari sungai selepas van dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Bonus hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dan wanita maut selepas van dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Bonus di KM 8.1 dekat Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini hari ini.
  
Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku apabila van yang dipercayai dipandu laju terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang dan terjunam ke sungai.
  
"Akibatnya, van yang dipandu G. Logesvaran, 21, dan G. Nirmaladevi, 41, yang merupakan penumpang maut di tempat kejadian," kata Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning ketika dihubungi Bernama.
  
Bagaimanapun, kaitan antara kedua-dua mangsa belum dapat dipastikan.
  
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  
Dua jentera bomba dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam dilihat berada di lokasi kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa. - Bernama