IPOH - Kelicikan dua beradik berkongsi hobi dengan melakukan kegiatan curi motosikal akhirnya terbongkar selepas mereka ditahan anggota ‘task force’ Bahagian Risikan (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang menjalankan Ops Lejang pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, pasangan adik beradik lelaki berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan di dua rumah berasingan di Menglembu dan Bukit Merah kira-kira jam 7.45 petang.

Menurutnya, kumpulan yang dikenali sebagai Geng Adik Beradik Bukit Merah dipercayai mula bergerak aktif melakukan kegiatan tersebut sejak Januari tahun ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan,  polis berjaya melumpuhkan Geng Kema Pengkalan pada 9 Mac lalu.

Beliau berkata, seramai 10 orang ditahan iaitu pencuri, pembeli, orang tengah dan pemilik bengkel.

“Malah, salah seorang suspek berusia 25 tahun turut mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu memiliki harta curi,” katanya.

Katanya, kesemua mereka ditahan secara berasingan di sembilan buah rumah sekitar Pasir Puteh, Simpang Pulai dan Lahat.

Mohd Shukri berkata, kesemua 12 suspek bagi kedua-dua kumpulan terbabit kini direman selama empat hari mulai 16 hingga 19 Mac ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan.