Mohd Ismail Muslim
Mohd Ismail Muslim
HULU TERENGGANU - Enam sekeluarga di Kampung Bukit Diman, di sini, bukan sahaja menghadapi detik cemas setelah kediaman mereka dipecah masuk empat lelaki bertopeng bersenjatakan pisau tetapi turut berputih mata menanggung kerugian dianggarkan bernilai RM17,000.

Menurut sumber, sebelum kejadian kira-kira jam 3.40 pagi kelmarin, mangsa yang berusia 40-an dan bekerja sebagai pembantu am di sebuah sekolah serta ahli keluarganya sedang tidur sebelum dia dikejutkan dengan bunyi bising dari arah belakang rumah.

“Setelah terdengar bunyi bising, mangsa bangun memeriksa keadaan rumahnya dan ternampak empat lelaki bersenjatakan pisau yang dipercayai memecah masuk ke dalam rumahnya melalui pintu belakang di bahagian dapur.

“Sebaik menyedari kehadiran mangsa, salah seorang daripada suspek mengarahkan mangsa supaya tidak berbuat bising sambil mengacukan sebilah pisau. Mangsa kemudiannya diikat menggunakan dawai tali dipercayai dipotong daripada pagar belakang rumah," katanya.

Menurutnya, mangsa dan isteri, seorang guru berusia 40-an serta empat anak mereka berumur antara 3 hingga 15 tahun diikat lalu dikumpulkan dalam sebuah bilik sambil dikawal salah seorang daripada suspek.

“Sementara, tiga suspek lagi menggeledah rumah untuk mencari barang berharga. Semua suspek beredar selepas memperoleh beberapa barangan berharga termasuk wang tunai RM3,000 dan barang kemas dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya.

Sumber berkata, suspek juga turut melarikan jam tangan, dua telefon bimbit serta kunci kereta Honda dan Mercedes dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM17,000.

Difahamkan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ajil selepas berjaya membuka ikatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

"Polis juga menasihati orang ramai supaya meningkatkan langkah keselamatan di rumah masing-masing,” katanya.