Cubaan seleweng diesel gagal
Norazmi (kanan) menunjukkan tangki minyak tambahan pada lori treler yang ditahan awal pagi, semalam.
PONTIAN - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Johor Cawangan Pontian mematahkan dua cubaan menyeleweng 8,300 liter diesel subsidi bernilai RM49,000 menerusi penahanan sebuah treler dan lori yang sudah diubah suai secara berasingan di Benut, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan pertama kelmarin, PPDNKK menahan sebuah lori muatan satu tan yang sedang mengisi minyak diesel subsidi di sebuah stesen minyak di sini.

Ketua PPDNKK Johor Cawangan Pontian, Norazmi Yacob berkata, empat pegawainya membuat serbuan dan menjumpai tangki tambahan di dalam lori terbabit yang mampu menyimpan kira-kira 5,000 liter minyak diesel.

“Ketika serbuan pemandu lori yang berusia 29 tahun sedang mengisi minyak ke dalam tangki minyak yang mempunyai saluran khas ke tangki tambahan yang terletak di bahagian atas.

“Berdasarkan kepada siasatan, kami percaya kegiatan penyelewengan minyak diesel ini telah lama dilakukan berdasarkan kepada tangki minyak tambahan dan dipercayai pemandu ini bertindak sebagai orang tengah kepada satu pihak yang lain.

“Lelaki tempatan ini telah ditahan bagi siasatan lanjut dan jumlah rampasan dianggarkan RM10,000,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Norazmi berkata, serbuan kedua pula dilakukan pihaknya sekitar 2.30 pagi semalam ke atas sebuah treler yang dalam perjalanan ke Pontian.

"Kenderaan berat terbabit ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berhampiran pekan Benut.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan tangki tambahan di dalam treler bertujuan menyimpan minyak diesel.

“Tangki itu dibina sama paras dengan dinding treler dan sekali pandang ia sama seperti treler-treler lain yang membawa pelbagai barang dagangan untuk ke kawasan selatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan treler itu menuju ke arah Johor Bahru dengan menggunakan jalan Pontian tanpa menggunakan lebuh raya.

“Tangki tambahan ini mampu mengisi sebanyak 5,000 liter minyak diesel bersubsidi. Pemandu lori treler berusia 26 tahun ditahan bagi siasatan lanjut dan nilai rampasan termasuk lori dianggarkan RM39,000.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.