Cabul anak, bapa tak mengaku salah
Tertuduh berbincang bersama peguamnya berkaitan kes terbabit, semalam.
KANGAR – Seorang bapa tidak mengaku salah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak yang merupakan anaknya sendiri berusia 14 tahun, pada Januari  lalu.

Tertuduh, melakukan kesalahan berkenaan dengan menggunakan kekerasan jenayah di ruang tamu rumahnya dua bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret, Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Akibat perbuatan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Untuk kesalahan itu, pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh akan diwakili peguamnya, Zuhair Ahmad Zaquan.

Manakala, majistret telah menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kes itu.