Search This Blog

Wednesday, March 20, 2013

Bidikan kena pipi



Kajang: Seorang peniaga lembu cedera di pipi kanan dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan dua lelaki menaiki motosikal ketika mangsa yang menaiki kereta Mercedes berhenti di persimpangan lampu isyarat Sungai Chua, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa yang berusia 36 tahun baru selesai makan di sebuah medan selera berhampiran kawasan berkenaan dan dalam perjalanan pulang ke pejabatnya di Kuala Lumpur.


Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, mangsa memberitahu dia hanya mendengar bunyi letupan dipercayai tembakan sebelum berasa sakit di pipi.

“Menyedari dia cedera, mangsa membelok ke kawasan deretan kedai dan berhenti di situ lalu menghubungi rakannya supaya datang membantu. Dia dihantar ke Hospital KPJ Kajang untuk mendapatkan rawatan lanjut.


“Mangsa kemungkinan tidak menyedari dia diekori dua lelaki terbabit dan menjadi sasaran mereka,” katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati tiada sesiapa melihat kejadian itu sebaliknya hanya mendengar bunyi tembakan.

“Berdasarkan percakapan seorang saksi yang juga pekerja bengkel motosikal di situ, sebaik letupan berlaku, dia ternampak dua lelaki berjaket gelap memecut motosikal mereka,” katanya yang tidak menolak kedua-dua lelaki terbabit yang melepaskan tembakan.


Menurutnya, ketika kejadian keadaan jalan di lokasi berkenaan sesak manakala saksi tidak dapat mengenal pasti jenis dan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang dua lelaki itu.

Katanya, keadaan mangsa yang cedera di pipi kanan dilaporkan stabil dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

No comments:

Post a Comment