Anggota polis berdepan hukuman penjara
Harisyam dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku tidak bersalah meminta suapan berjumlah RM500.
IPOH – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini, semalam atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM500 pada tahun lalu.

Harisyam Che Harun, 34, didakwa meminta suapan itu daripada M Sri Ganesan, 27, sebagai dorongan untuk memulangkan kembali kad pengenalan milik lelaki itu yang telah dirampas.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 4 petang, 27 Mac tahun lalu di Kampung Kuala Rui, Gerik.

Harisyam turut dibacakan pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja melakukan ketakutan kepada Sri Ganesan dengan membawa lelaki itu ke Balai Polis untuk tindakan lanjut kononnya atas kesalahan melanggar syarat permit berniaga barang-barang lusuh.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 383 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun yang sama, iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.

Tertuduh yang bertugas di Balai Polis Gerik bagaimanapun meminta bicara terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, M Kathan manakala, tertuduh diwakili peguamnya, Hatim Musa.

Hakim Julie Lack membenarkan Harisyam diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu kes disebut semula pada 26 April depan.