Search This Blog

Saturday, March 23, 2013

‘Anak kita sudah meninggal dunia...’



Kuala Pilah: Seorang pembantu kantin di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah, di sini, berharap bekas suaminya mengetahui seorang daripada empat anak mereka sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 3, Jalan Bahau-Juasseh, Isnin lalu.

Zaini Mohd Noor, 39, berkata bekas suami, Sholihun Artiun, 41, perlu mengetahui anak kedua mereka, Mohd Alif Sholihun, 18, meninggal dunia akibat kemalangan pada Isnin lalu sebelum disusuli ayahnya Mohd Noor Hamid, 69, sehari selepas kejadian iaitu pada Selasa lalu dipercayai terkejut dan tidak dapat menerima kematian cucu dijaga sejak kecil.


Katanya, sejak mereka berpisah pada 2005, Sholihun tidak pernah menjenguk anak, namun mengharapkan dia pulang seketika untuk ke pusara anak dan bekas bapa mentua.

Zaini berharap bekas suaminya atau sesiapa saja yang mengetahui di mana Sholihun berada menghubunginya di talian 0172773575.


“Memang amat menyedihkan menerima dua kematian orang tersayang berturut-turut. Arwah anak saya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad, Kuala Pilah sepatutnya mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini (semalam).


“Apapun saya sangat berharap bekas suami mengambil tahu perkara besar ini,” katanya.

Menurutnya, arwah ayahnya rebah di rumah di Kampung Sawah Lebar, Kuala Pilah pada jam 3 petang dan dibawa ke Hospital Tuanku Najihah, Kuala Pilah oleh sanak saudara selepas kejadian itu.


“Bagaimanapun, arwah ayah meninggal dunia pada jam 6 pagi Selasa lalu tanpa melihat kali terakhir wajah Mohd Alif.

“Arwah ayah memang sangat rapat dengan arwah Mohd Alif. Menjadi rutin hariannya menghantar cucunya itu ke sekolah berhampiran rumah di pekan Kuala Pilah.


“Pada hari anak saya kemalangan, ada anggota polis datang ke rumah memberitahu kemalangan itu kepada ayah. Saya tiada di rumah kerana bekerja,” katanya.


Sementara itu, isteri Mohd Noor, Burrong Lazim, 82, berkata, suaminya baru saja membelikan motosikal Yamaha SS untuk kegunaan Mohd Alif.


Menurutnya, arwah suaminya kasihan melihat ada kalanya Mohd Alif balik dari sekolah berjalan kaki sejauh lima kilometer dan tidak sampai hati menolak permintaan arwah cucunya membelikannya sebuah motosikal.


Katanya, setiap hari Mohd Noor menghantar arwah cucunya serta dua adik Mohd Alif ke sekolah berlainan, bagaimanapun apabila balik sekolah kadang-kadang tiada siapa di rumah untuk menjemput menyebabkan mereka berjalan kaki sendirian.


Dalam kejadian jam 9.10 pagi, Isnin lalu, Mohd Alif dipercayai gagal mengawal motosikal ditungganginya sebelum terjatuh ke jalan dan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di hospital.

No comments:

Post a Comment