Search This Blog

Sunday, March 31, 2013

15 maut bangunan runtuh di Tanzania



Gambar dikeluarkan agensi berita Xinhua, menunjukkan orang ramai serta anggota pasukan penyelamat bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi bangunan runtuh di Dar es Salaam, Tanzania, semalam. - AGENSI
DAR ES SALAAM 29 Mac - Sekurang-kurangnya 15 terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi terperangkap selepas sebuah bangunan setinggi 12 tingkat yang sedang dibina runtuh di pusat komersial Tanzania, hari ini.
Menurut saksi, ada di antara orang ramai yang menggunakan tangan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian yang berlaku di daerah Kariakoo, tengah Dar es Salaam.
Ketika kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi waktu tempatan (1 tengah hari waktu Malaysia) itu, berpuluh-puluh pekerja pembinaan dipercayai berada di dalam bangunan, sementara kanak-kanak sedang bermain di sekitar bangunan berkenaan.
"Sebanyak 15 mayat telah ditemui daripada runtuhan bangunan setakat ini. Dua orang juga diselamatkan hidup-hidup dan operasi menyelamat masih lagi diteruskan,'' kata Ketua Polis Dar es Salaam, Suleiman Kova kepada pemberita di tempat kejadian.
Jelas beliau, masih terlalu awal untuk menentukan punca kejadian, namun pemilik bangunan berkenaan katanya perlu bertanggungjawab di atas insiden tersebut.
Presiden Tanzania, Jakaya Kikwete yang mengunjungi lokasi kejadian turut merakamkan ucapan takziah menerusi akaun Twitternya.
"Kami berdoa supaya mereka yang masih hilang akan ditemui selamat," katanya.
Pesuruhjaya bandar Dar es Salaam, Saidi Mecky Sadiky pula berkata, kira-kira 60 orang terdiri daripada buruh, penjaja dan kanak-kanak dipercayai berada di tempat kejadian ketika insiden berlaku.
Sekurang-kurangnya empat maut di bandar ini pada 2008 apabila sebuah bangunan runtuh. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130330/lu_07/15-maut-bangunan-runtuh-di-Tanzania#ixzz2P8Issfng
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment