TANAH MERAH - Seramai 13 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah terbakar di Kampung Banggol Kemunting di sini hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Machang, Timbalan Penguasa Bomba Che Rusli Che Sulaiman berkata kejadian berlaku pada pukul 1.30 tengah hari, melibatkan 14 buah rumah kayu yang terletak berdekatan antara satu sama lain.

"Pihak bomba menerima panggilan daripada penduduk kampung pada pukul 1.45 tengah hari dan tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.

"Seramai 16 anggota bersama tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah dan Machang dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran kira-kira 20 minit walaupun menghadapi angin kencang.    "Tiada sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa dilaporkan. Punca
kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Seorang mangsa Zahara Aziz, 36, berkata semasa kejadian dia dan suami serta dua anak mereka berada di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat.

"Saya kemudian keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku dan melihat sebuah rumah jiran sedang marak dijilat api.

"Saya kemudian masuk kembali ke dalam rumah dan memberitahu suami mengenai kebakaran dan hanya sempat selamatkan sedikit daripada barangan rumah," katanya.

Azizah Che Musa, 50, berkata dia yang sedang berehat di ruang tamu bersama dua cucunya hanya menyedari mengenai kebakaran selepas diberitahu jirannya.

"Saya terus mendapatkan cucu-cucu saya dan bawa mereka keluar rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Kesemua mereka kini menumpang di dewan klinik berhampiran dan rumah saudara mara. - Bernama