11 pelatih larikan diri
Wartawan cuba mendapat maklum balas dari pemilik pusat rawatan itu, malam kelmarin
HULU KINTA – Seramai 11 lelaki di sebuah pusat rawatan swasta di sini, bertindak nekad melarikan diri dari pusat itu tanpa diketahui sebabnya.

Dalam kejadian antara jam 5 hingga 6 petang, 11 pelatih yang menjalani rawatan pemulihan penagih dadah menghilangkan diri ketika berehat dan disedari oleh salah seorang pekerja.

Difahamkan, pemilik pusat berkenaan bertindak melaporkan kehilangan pelatih terbabit di Balai Polis Tanjung Rambutan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya membantu mengesan kesemua pelatih terbabit selepas menerima laporan dari pemilik pusat rawatan itu.

“Difahamkan mereka berusia lewat 30 an dihantar ke pusat berkenaan oleh ahli keluarga untuk memulihkan keadaan mereka yang pernah terlibat dengan aktiviti penagihan dan kurang siuman.

“Setelah menerima laporan polis, anggota membuat halangan jalan dan rondaan bagi mencari kesemua pelatih. Sehingga kini, mereka belum ditahan,” katanya ketika dihubungi, semalam.