KOTA BHARU - Tindakan seorang penjual ayam mengamuk dan mengugut mahu membakar rumah ibunya selepas tidak diberi pinjam motosikal untuk membeli rokok membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM5,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Ikhwan Hakimi Hamid, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ikhwan didakwa melakukan ugutan jenayah dengan memecahkan cermin tingkap dan membaling gelas kaca ke lantai serta mengugut mahu membakar rumah terhadap ibunya, Norliza Abdul Rahman, 45, di sebuah rumah di Kampung Baru 2, Jalan Wakaf Mek Zainab di sini pada jam 7.30 malam, 30 Januari 2013.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh secara tiba-tiba mengamuk dengan memecahkan cermin tingkap serta membaling gelas ke lantai dan menendang pintu sambil mengugut mahu membakar rumah itu kerana tidak berpuashati kerana dapat meminjam motosikal milik adiknya untuk membeli rokok di kedai berhampiran.

Bimbang dengan tindakan tertuduh itu, ibu mangsa bersama anaknya yang lain melarikan diri ke rumah abangnya yang tinggal di kawasan berhampiran.

Tertuduh kemudian ditahan polis selepas mangsa membuat panggilan telefon kerana bimbang tertuduh akan membakar rumah berkenaan.

Terdahulu, Muhammad Ikhwan yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman setimpal kerana dia sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md Zukri memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Pada usia 24 tahun tertuduh sepatutnya berfikiran matang sebelum membuat sebarang tindakan yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarganya,” katanya.