SENAI - Akibat salah faham ketika sedang bersarapan pagi, seorang adik sanggup menikam abangnya sebanyak tiga kali menggunakan pisau dalam kejadian di Taman Flora Height, Bandar Seri Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, kejadian jam 8 pagi itu berlaku ketika adik-beradik terbabit masing-masing berusia 28 dan 26 tahun sedang sarapan pagi di rumah bersama ibu bapa mereka.

“Perselisihan faham berlaku berkaitan makanan yang dimakan sehingga membabitkan pergaduhan.

“Adik mangsa tidak berpuas hati lalu mengambil pisau di dapur dan menikam mangsa. Mangsa kemudiannya rebah dan ayah mereka segera menghubungi ambulans untuk dibawa ke Hospital Sultan Ismail dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Mohd Roslan berkata, hasil siasatan yang dijalankan, polis mendapati kejadian berlaku berpunca selisih faham berikutan adik mangsa gagal mengawal emosi.

Beliau berkata, adik mangsa dikatakan mempunyai sakit sawan dan masalah mental sejak berusia 13 tahun, namun ubat bagi penyakit terbabit hanya diperolehi dari klinik sebulan sekali tanpa menerima rawatan dari hospital.

“Mangsa luka dalam di belakang badan berhampiran paru-paru.Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.