Tiga kematian akibat denggi
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai
MUAR – Tiga kematian disebabkan denggi dilaporkan di negeri ini bagi tempoh berakhir 16 Februari lalu, sekaligus mencatatkan peningkatan sebanyak 42 peratus atau 33 kes dengan jumlah keseluruhan 319 kes berbanding 224 kes tempoh sama  tahun lalu.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, kematian pertama pada 31 Januari lalu, membabitkan seorang  wanita berumur 34 tahun dari Bandar Seri Alam,
Johor Bahru.

“Mangsa kedua ialah lelaki berusia 59 tahun yang tinggal di Permas Jaya, Johor Bahru, meninggal dunia 5 Februari lalu.

“Kematian ketiga pada 6 Februari lalu, membabitkan seorang warga emas wanita berumur 76 tahun yang berasal dari Pasir Gudang, Johor Bahru,” katanya pada sidang media di Hotel Pelangi di sini, semalam.

Menurutnya, hanya lapan daerah dilaporkan berlaku kes denggi dengan Johor Bahru adalah kawasan tertinggi merekodkan 73 peratus daripada 319 kes yang direkodkan.

Beliau berkata, ia diikuti Kulaijaya, 9 peratus, manakala bagi Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing masing-masing mencatatkan 3 peratus, sementara Ledang dan Pontian tiada sebarang kes dilaporkan.

“Empat wabak baru dilaporkan dan jumlah terkumpul lokaliti wabak adalah 32 lokaliti berbanding 14 lokaliti bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Dr Robia yang juga Adun Sungai Balang berkata, ada empat wabak masih aktif sepanjang minggu ketujuh tahun ini di Johor Bahru iaitu di lokaliti Taman Mawar, Taman Johor Jaya, Taman Molek dan  Taman Indahpura.

Jelasnya, peningkatan kes denggi ini bukan hanya berlaku di negeri ini tetapi dalam negara yang turut melibatkan beberapa negeri lain berbanding tahun lalu.

“Memandangkan kes ini sudah meningkat melebihi 40 peratus setakat Februari ini, jadi semua pihak perlu mengambil langkah agresif bagi membendung penularan penyakit ini.

“Musnahkan tempat pembiakan aedes secara konsisten yang menjadi kunci utama mengelakkan penularan denggi,” katanya.