Temui separuh badan manusia
Sekumpulan anggota dan pegawai polis, diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, ASP Mohd Adli Mat Daud (kanan), tiba di tempat mayat ditemui selepas terima laporan.
Temui separuh badan manusia
Orang ramai memenuhi kawasan pantai selepas berita mengenai penemuan sebahagian tubuh manusia itu tersebar.
MARANG - Seorang penduduk di Jalan Tanah Lot, Pantai Rhu Rendang tidak menyangka, objek terdampar di pantai kampung berkenaan yang disangka bangkai binatang, ialah sebahagian tubuh manusia.

Mayat hanya tinggal paras pinggang ke bawah itu ditemui Jamaludin Zainol, 59, ketika dia mencari lapisan kulit sotong dan botol hanyut di pantai berkenaan sekitar jam 6.35 pagi semalam.

Sudah menjadi rutin bapa lapan anak itu berjalan kaki setiap pagi di pantai itu untuk mencari lapisan kulit sotong untuk dijual kepada tukang emas bagi membuat acuan cincin selain mengutip botol hanyut.

Jamaludin berkata, dia terlihat objek terdampar ketika melalui kawasan pantai berkenaan.

"Semakin dekat, bau busuk semakin kuat dan saya mengesyaki objek terdampar itu bangkai binatang.

“Tetapi apabila melihat dari dekat, saya ternampak seluar dalam dan menyedari ia sebenarnya mayat manusia, tetapi tanpa kepala dan badan,” katanya yang kemudiannya bergegas pulang sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui di tempat kejadian berkata, kejadian itu belum pernah berlaku sebelum ini dan mayat manusia tidak lengkap anggota badan itu dipercayai dihanyutkan ombak.  

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan penemuan mayat mengerikan itu.

Beliau menambah, polis sedang menjalankan siasatan serta mengesan identiti mayat itu.