Tilik nombor ekor
Intan menunjukkan risalah menilik nombor ekor yang diedarkan di rumah penduduk.
SEREMBAN – Penyebaran risalah menilik nombor ekor di beberapa taman perumahan di sekitar bandar ini menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan penduduk setempat.

Sinar Harian difahamkan, risalah itu diedarkan hampir setiap bulan oleh individu tidak dikenali sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk khususnya beragama Islam.

Risalah hitam putih itu yang tertera gambar seorang lelaki dipercayai seorang tukang tilik turut disertakan dengan nombor telefon bagi memudahkan orang ramai menghubunginya yang dikatakan boleh mengubah nasib, masalah kewangan dan menjadikan seseorang kaya.

Malah, risalah dicetak dalam bahasa Melayu dan Cina itu turut disertakan satu slip resit pembelian nombor ekor yang didakwa memenangi hadiah utama.

Penduduk di Taman Mutiara Galla yang hanya mahu dikenali sebagai Intan berkata, dia hanya menyedari risalah terbabit ada di peti surat rumahnya selepas pulang bekerja.

“Sudah banyak kali saya menerima risalah nombor ekor ini. Pada awalnya saya tidak pernah mengambil kisah tetapi lama kelamaan geram pula kerana risalah itu boleh menggalakkan orang ramai berjudi dan secara tidak langsung memesongkan akidah orang Islam,” katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, risalah sama juga diedarkan di kawasan perumahan di tempat lain kerana turut menjadi perbualan rakan-rakannya di pejabat.

Intan berkata, pihak berkuasa diharap dapat menyiasat dalang penyebaran risalah berkenaan kerana bimbang ia satu taktik menipu orang ramai.

“Saya ingatkan di taman perumahan saya sahaja, tapi rupa-rupanya di Taman Matahari Indah juga ada menerima risalah sama.

“Bagi saya perbuatan mengedarkan risalah di rumah penduduk beragama Islam adalah perbuatan tidak bertanggungjawab,” katanya.