Search This Blog

Monday, February 18, 2013

Tak sempat elak kereta buat pusingan U



Rembau: “Ketika memandu tiba-tiba sebuah kereta membuat pusingan ‘U’. Saya cuba mengelak tetapi gagal kerana begitu hampir dan terus berlanggar,” kata pemandu lori, A Viknesh, 23, yang terbabit kemalangan di Jalan Seremban-Tampin dekat Pekan Pedas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dia bersama kelindan, A Vijayagan, 31, dalam perjalanan dari Tampin ke Rantau untuk menghantar 11 ekor lembu.


Viknesh berkata, dia cuba sedaya upaya menekan brek, tetapi kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan lori dipandunya melanggar kereta Perodua Kelisa dinaiki seorang lelaki bersama dua anak perempuannya.

Katanya, berikutan pelanggaran itu lori dan kereta terseret sejauh 20 meter ke arah bertentangan. “Mujur tiada kereta lain, jika tidak mungkin kemalangan ini menyebabkan kecederaan lebih parah. Saya terus keluar dari lori untuk melihat keadaan mangsa di dalam kereta Kelisa.


“Saya dengar dia menjerit kakinya sakit kerana tersepit dan orang ramai di tempat kejadian cuba membantu dengan menghubungi ambulans dan mengeluarkan semua mangsa,” katanya.


Katanya, selama setahun setengah memandu lori, itu kali pertama dia terbabit kemalangan.

“Sampai sekarang saya menggeletar kerana takut. Saya harap peristiwa ini tidak berulang dan menjadi pengajaran supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.


Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut.

No comments:

Post a Comment