Skandal daging kuda
Skandal daging kuda
BARU-baru ini, penduduk dunia khasnya di Eropah dikejutkan dengan skandal daging kuda yang dicampur ke dalam produk makanan berasaskan daging lembu.

Lebih memeranjatkan, pendedahan mendapati daging lembu berkenaan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) kuda.

Jutaan produk makanan dijual di Britain, Ireland, Perancis, Sepanyol, Jerman, Denmark, Sweden dan Norway terpaksa ditarik balik sejurus pendedahan DNA itu.

Jumaat lalu, Kesatuan Eropah (EU) menyatakan persetujuan memulakan pemeriksaan DNA secara rawak terhadap bekalan daging mentah, sementara pihak berkuasa Britain pula mengesahkan menjumpai ciri-ciri DNA kuda dalam hidangan makanan di sekolah, restoran dan hospital termasuk produk dijual dalam pasar raya.

Bute dalam daging kuda

Pendedahan sebahagian daging dipasarkan mengandungi ubat antiradang atau bute (fenilbutazon) amat membimbangkan kerana ia berbahaya kepada manusia.

Fenilbutazon atau bute adalah sejenis ubat antiradang bukan steroid (NSAID) bagi merawat kesakitan jangka pendek pada haiwan.

Bute biasanya disuntik pada kuda lumba yang mengalami kecederaan atau yang melebihi tempoh kematangan dan tidak berguna kepada manusia.

Bagaimanapun, bute diharamkan penggunaannya ke atas manusia di Amerika Syarikat dan Britain kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada fungsi badan seperti tekanan melampau terhadap sel darah putih, kerosakan hati atau buah pinggang.

Sejurus tersebarnya berita mengenai tindakan mencampurkan daging kuda tercemar ke dalam produk daging lembu, satu operasi besar-besaran dilancarkan pihak berkuasa terhadap rumah penyembelihan kuda.

Sebuah rumah penyembelihan dalam bandar Somerset, England, disahkan menyembelih enam kuda yang mengandungi bute dan dijadikan sebahagian bekalan daging mentah.

Menurut pegawai Agensi Kualiti Makanan Britain, kuda berkenaan ditembak di kepala sehingga mati sebelum dihantar ke pusat pemprosesan bersama daging mentah lain.

“Sebanyak 63 kuda disembelih setiap minggu oleh Syarikat LJ Potter of Taunton, kemudian daging yang siap diproses akan dihantar ke Perancis untuk pasaran bekalan makanan antarabangsa.

“Perniagaan ini diusahakan Stephen Potter mengakui menjalankan urus niaga daging kuda kepada lebih 50 penjual daging sekitar Calais, Britain,” katanya.

Daging tiga daripada enam kuda yang disembelih di situ disahkan mengandungi bute dan telah pun berada dalam pasaran.

Pihak pengurusan LJ Potter of Taunton bagaimanapun, diarah menarik balik kesemua bekalan daging mentahnya susulan pengesahan kandungan bute itu.

“Kita dapati bekalan daging mentah daripada rumah penyembelihan Somerset mengandungi kesan ubat pelali tahan sakit berbahaya kepada manusia iaitu bute,” katanya.

Sementara itu, November lalu, Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Ireland (FSAI) mendedahkan produk sejuk beku burger daging dan makan segera di pasar raya utama negara mengandungi DNA kuda dan babi.

Bagaimanapun, timbul beberapa laporan bertentangan mengenai siasatan FSAI yang akhirnya ditutup begitu sahaja.

“Kumpulan peruncit Ireland menegaskan tindakan ujian DNA haiwan ke atas produk daging mereka oleh FSAI memberi kesan negatif kepada industri perniagaan tempatan,” kata pegawai.

Berikutan itu, FSAI terpaksa menangguhkan perlaksanaan ujian itu selama dua bulan sebelum mengumumkan keputusan pada 15 Januari lalu.

Lapor FSAI, pihaknya sedia maklum bahawa apa sahaja produk berasaskan daging yang dijual di Ireland turut dipasarkan di Britain.

Sejarah permintaan daging kuda

Daging kuda adalah bekalan daging utama di Asia Tengah, Eropah, Amerika Selatan dan Asia.

Sumber mendedahkan, sejak awal kewujudan manusia, kuda liar dijadikan sebagai sumber protein utama mereka. Rasanya sedikit manis, lembut dan rendah lemak.

Daging kuda yang sering digunakan dalam hidangan makanan di wilayah Utara Amerika dan Amerika.

Bagaimanapun, disebabkan peranan kuda sebagai kenderaan tunggangan serta peneman setia manusia, timbul beberapa persoalan terhadap etika penyembelihan, sekali gus menjadi pantang dalam sesetengah budaya.

Pegangan agama dan budaya menjadi punca kepada larangan memakan daging kuda. Ini sekali gus menggelarnya sebagai haiwan peliharaan di khasnya AS, Britain dan Ireland.

Di Rusia, daging kuda diklasifikasikan sebagai makanan etnik berkualiti rendah dan kurang sedap, sekali gus ia amat jarang dijual di pasaran tempatan.

Bagaimanapun, ia amat popular di kalangan masyarakat nomad di timur Rusia seperti Tatar, Yakut dan Kazakhstan.

Daging kuda perspektif Islam

Daging kuda adalah halal dimakan, tetapi ia lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan (makruh).

Daging kuda tidak digalakkan dimakan oleh orang sihat kerana dagingnya bersifat panas dan dikhuatiri mendatangkan bahaya pada tubuh yang sihat.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda; “Dari Asma RA, ia berkata: “Kami menyembelih kuda, lalu kami makan. Itu masa hidupnya Rasulullah SAW”. Daripada Nabi SAW, bahawasanya baginda mengizinkan (memakan) daging kuda dan baginda melarang (memakan) daging keldai (jenis peliharaan)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim). (Asy-Syaikhan)