Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi
GEORGETOWN - Polis yakin akan menyelamatkan beberapa lagi bayi yang dijual oleh satu sindiket yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak dalam masa terdekat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pasukan khas yang ditubuhkan dalam Ops Pintas Sayang mendapat petunjuk baru dan yakin akan menyelamatkan beberapa lagi bayi.

Bagaimanapun, Abdul Rahim enggan mengulas lanjut jumlah bayi yang bakal diselamatkan kerana ia masih lagi dalam siasatan.

“Setakat ini kita telah selamatkan tujuh bayi perempuan dan tiga lelaki daripada sindiket ini.

“36 individu juga ditahan termasuk pasangan yang membeli bayi dan kanak-kanak daripada sindiket berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis penyampaian watikah pelantikan pengawas dan ahli majlis tertinggi asrama Sekolah Menengah kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor di sini semalam.

Menurutnya, lapan individu masih lagi direman untuk membantu siasatan namun tempohnya akan berakhir hari ini (semalam).

“Kita akan rujuk mereka ini kepada Ketua Unit Perundangan Pulau Pinang untuk mendapat arahan lanjut sama ada perlu dituduh ke mahkamah atau tidak,” katanya.

Polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang aktif di utara tanah air pada 24 Januari lalu.

Mereka yang ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember hingga minggu ini, berusia antara 23 dan 52 tahun, antaranya penjawat awam di Jabatan Pendaftaran Negara serta doktor pusat perubatan swasta.

Dalam serbuan di sebuah tempat persembunyian bayi dan kanak-kanak itu, polis menyelamatkan lapan bayi dan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun.

Polis turut menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak perempuan pada 29 Januari lalu dan menahan pasangan suami isteri.

Lima daripada yang ditahan sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth 25 Januari lalu sementara kesemua bayi dan kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).