Sikap ganjil petanda ajal
Pengawai Penyiasat Trafik Daerah, Inspektor Abdul Zaki Zainal (kanan) sedang melakukan siasatan terhadap mangsa kemalangan di Jalan Bukit Rambai, kelmarin.
Aminur Asyraff
Aminur Asyraff
BUKIT RAMBAI - Seorang bapa tidak menyangka sikap ganjil anak yang sempat bersalaman sambil berpelukan dengan beberapa rakan sekolah sebelum keluar menuju ke rumah seorang kawan sebagai petanda ajalnya sudah tiba.

Nor Shaharani Yaakub, 47, berkata, ketika kejadian itu dia sedang berada di rumahnya di kuarters kakitangan penjara di Sungai Udang.

Menurutnya, kejadian itu dimaklumkan oleh rakan-rakan, beberapa jam sebelum anaknya, Aminur Asyraff, 17, terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga maut di tempat kejadian di Jalan Bukit Rambai-Tanjung Minyak di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, pada malam kejadian, anaknya sempat menikmati makan malam bersama keluarga sebelum meminta izin untuk keluar sebentar ke rumah seorang rakan di Bukit Rambai.

“Pada masa itu, saya tidak mengesyaki apa-apa sebab memang biasa dia keluar ke rumah rakan. Sehinggalah seorang kenalan menghubungi saya memaklumkan anak kedua saya itu terlibat dalam kemalangan.

“Saya berasa tidak sedap hati kerana pada mulanya rakan yang menghubungi saya menyuruh kami sekeluarga terus ke hospital namun kemudiannya menyarankan saya terus ke lokasi kejadian kerana ambulans enggan mengangkat anak saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kejadian itu berlaku jam 11.30 malam.

“Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 25 tahun dari arah Bukit Rambai telah membelok ke arah Taman Rambai Jaya dan telah bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa.

“Mangsa yang mendapat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Polis juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut supaya dapat menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Abdul Zaki Zainal di talian 019-6666063 bagi membantu siasatan.