Seorang lagi suspek ditembak
Suspek maut ditembak polis di Kampung Jelawang dekat Gunung Stong, Dabong, Kuala Krai, semalam.
KOTA BHARU – Selepas dua maut dalam kejadian tembak menembak Ahad lalu, seorang lagi suspek dipercayai anggota ‘Kumpulan Aime’ turut menerima nasib sama selepas mati ditembak polis berhampiran kawasan air terjun Gunong Stong, Kuala Krai, pagi semalam.

Suspek yang berusia 27 tahun itu maut serta-merta di tempat kejadian selepas terkena satu das tembakan dilepaskan polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis yang menerima maklumat daripada penduduk kampung bertindak segera mengesan suspek di kawasan hutan sekitar air terjun itu pada jam 11.45 pagi.

Katanya ketika gerakan memburu, seorang anggota melibat kelibat suspek dan cuba mendekatinya sebelum diserang dengan sebilah parang.

“Dalam usaha menyelamatkan diri, anggota kami terpaksa melepaskan satu das tembakan yang terkena kepada lelaki itu menyebabkannya dia menemui ajalnya serta-merta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Kota Bharu, petang semalam.

Jalaluddin berkata, pemeriksaan ke tubuh badan suspek menjumpai dua bungkusan wang tunai berjumlah RM6,150 dipercayai baki hasil rompakan RM50,000 dalam kejadian di Kuala Krai, 3 Februari lalu.

“Pemeriksaan lanjut, polis juga menjumpai 10 pil dipercayai dadah jenis metamphetamine dan sebilah parang yang digunakan untuk menetak anggota kami.

“Kami masih memburu seorang lagi rakan penjenayah. Suspek dari Paka, Dungun, Terengganu yang ditembak mati itu turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan aktif melakukan jenayah samun bersenjata sejak setahun lalu,” katanya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan detik cemas seorang kakitangan sebuah syarikat pembalakan, Muhammad Haniff Zahadi, 23, diacukan pistol di kepala ketika dilarikan empat penjenayah selepas mengeluarkan wang RM50,000 dari sebuah bank di Kuala Krai, kelmarin.

Dua daripadanya bagaimanapun berjaya ditembak mati, kelmarin dan seorang lagi menerima nasib sama, semalam, sementara seorang lagi masih diburu polis.