Rumah pusaka hangus terbakar
Ahli keluarga mangsa kebakaran mencari barangan terselamat yang mungkin masih boleh digunakan.
KAMUNTING – Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka di Lorong Lembah, Kampung Pinang di sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus rumah tersebut termasuk sebuah motosikal.

Mangsa, G. Santhiran, 45, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga berada di rumah mentua yang terletak di Aulong.

“Ketika berada di sana saya terkejut apabila dimaklumkan oleh jiran melalui telefon yang mengatakan rumah saya terbakar.

“Apabila mendapat tahu musibah tersebut saya bergegas pulang untuk menyelamatkan barangan berharga termasuk sebuah motorsikal.

“Namun, bila sampai di rumah saya dapati api sedang marak di seluruh rumah dan beberapa anggota bomba termasuk dua buah jentera sedang berusaha menyelamatkan rumah saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, tidak ada apa yang mampu dilakukan kecuali hanya berputih mata menyaksikan rumah pusaka yang didiami sejak zaman datuk dan moyang hangus terbakar di depan mata.

“Saya sangat sedih dengan kejadian ini kerana saya tidak ada di tempat lain lagi untuk berteduh dan hanya mengharap belas kasihan dari rakan dan saudara mara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penguasa Bomba Kanan I, Dolah Samino Koromo berkata, dalam kejadian itu seramai 10 anggota telah ditugaskan untuk memadam kebakaran dan turut menggunakan dua jentera dan satu daripadanya bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping.

“Kita telah menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.12 malam dan dalam tempoh masa setengah jam kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Dolah berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian dianggarkan RM85,000.