Ribut 10 minit
Malathi sekeluarga melihat kerosakan bumbung akibat ribut di rumahnya di Taman Seri Jaya, kelmarin.
TANJONG KARANG - Bunyi kuat seperti orang berlari di atas bumbung mengejutkan tujuh keluarga di Taman Seri Jaya, di sini kira-kira jam 1 petang, kelmarin.

Penduduk, R Malathi, 35, berkata, dia terkejut mendengar bunyi kuat apabila menjenguk keluar bumbung rumah tercabut berikutan angin puting beliung.

Menurutnya, bumbung rumah di bahagian hadapan dan belakang tercabut satu persatu dan ahli sekeluarga sempat menyelamatkan diri.

“Saya bersyukur ahli keluarga selamat dan kejadian yang tidak disangka itu turut menjejaskan enam rumah di kawasan itu,” katanya.

Penduduk Taman Seri Setia, Nazrin Muhammad Duin, 20, berkata, dia sempat melihat bumbung rumah dan sampah plastik berterbangan sebelum angin puting beliung itu sampai.

“Ketika itu, semua jadi kaku dan hanya mampu berserah serta tidak putus-putus berdoa keselamatan ahli keluarga.

“Saya juga terkejut kerana kejadian berlaku ketika cuaca panas dan ribut itu datang secara tiba-tiba sahaja,” katanya yang masih trauma dengan insiden itu. Sinar Harian difahamkan, walaupun ribut melanda rumah penduduk di Taman Seri Jaya dan tujuh lagi rumah di Taman Seri Setia dalam tempoh 10 minit, namun ia mampu menyebabkan kerosakan teruk.

Sementara itu, Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias turut tampil mengunjungi mangsa ribut sebaik sahaja menerima berita musibah terbabit.

Menurutnya, pihaknya akan bantu sebaik mungkin melalui peruntukan sedia ada bagi membaiki kerosakan bumbung akibat musibah ribut itu.