Search This Blog

Wednesday, February 13, 2013

Restoran diserang 30 samseng



Segamat: Kira-kira 60 pelanggan yang menikmati makan malam sempena Tahun Baru Cina, lari bertempiaran apabila restoran yang ditempah mereka menjadi sasaran amukan 30 samseng dalam kejadian dekat Batu Anam di sini, malam kelmarin.

Pemilik Restoran Taman KSM dikenali sebagai Lam, 41, mendakwa ketika serangan jam 10.30 malam itu, beliau bersama lima pekerjanya sedang melayan 60 pelanggan terbabit yang menjamu selera bersama rakan dan ahli keluarga masing-masing sempena sambutan Tahun Baru Cina.
“Secara tiba-tiba, saya terlihat melalui dinding kaca, suluhan lampu puluhan motosikal membabitkan 30 lelaki berusia 20-an ke atas, menghala ke arah restoran.

“Mereka yang membawa pelbagai senjata bahaya termasuk parang, batang kayu dan besi kemudian memasuki restoran sebelum merosakkan meja, kerusi, memecahkan pintu kaca, pinggan mangkuk selain cuba menyerang beberapa pelanggan yang sedang menjamu selera ketika itu.

“Keadaan itu menyebabkan semua pelanggan saya lari bertempiaran menyelamatkan diri. Ada di antara pelanggan membawa bersama penutup bufet hidangan sebagai perisai melindungi diri. Nasib baik semua pelanggan sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui.

Lam berkata, kumpulan penyerang itu juga merosakkan sekurang-kurangnya 20 motosikal dan memecahkan cermin 10 kereta yang diletakkan di luar restorannya sepanjang serangan 15 minit itu.

“Saya tidak pasti punca serangan ini kerana tidak mempunyai sebarang musuh peribadi. Malah saya menyediakan hidangan makanan yang berkualiti serta menawarkan diskaun kepada pelanggan sepanjang sambutan perayaan ini,” katanya.
Beliau bergegas membuat laporan polis sejurus kumpulan samseng itu beredar tetapi setakat ini masih belum selesai membuat taskiran kerugian dialami.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitenden Hanafi Daud, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment