Search This Blog

Monday, February 18, 2013

Rampasan diesel terbesar



Kajang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan sindiket penyeludupan diesel dipercayai antara yang terbesar di Lembah Klang dalam serbuan di sebuah bekas tapak stor di Batu 17, Jalan Reko di sini, semalam.

Dalam serbuan pada jam 4.30 petang itu, turut dirampas dua lori tangki berisi 12,000 liter diesel bernilai RM25,200 dipercayai dalam proses penghantaran ke Port Dickson, Negeri Sembilan, selain cuba diseludup ke Singapura dan Thailand.
Seorang lelaki berusia 40-an dipercayai anggota sindiket turut ditahan.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit cuba menyeleweng bekalan subsidi kerajaan yang diperoleh dari beberapa stesen minyak berhampiran sebelum dijual pada harga lebih tinggi untuk industri.

Sindiket dipercayai beroperasi sejak setahun lalu dan hanya dikesan sejak empat bulan lalu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Pembangunan) KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, mengesahkan serbuan itu dan siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

No comments:

Post a Comment