Pyongyang cetus gempa bumi tiruan
Kumpulan aktivis Korea Selatan berhimpun dan mengutuk tindakan ujian nuklear Pyongyang di Seoul. Foto: EPA
SEOUL - Korea Utara semalam, mengesahkan kejayaan mengadakan ujian nuklear ketiga bawah tanah, sekali gus mencetuskan gegaran yang dianggap sebagai gempa bumi sekitar lokasi yang dirahsiakan.

Bagaimanapun, tindakan Pyongyang itu mendapat kutukan dunia termasuk Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon yang menyifatkan ianya sebagai pencabulan terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Lapor agensi berita tempatan, ujian berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan Pyongyang melindungi keselamatan dan kedaulatan negara daripada sifat permusuhan oleh Amerika Syarikat (AS).

Menurut pegawai Pyongyang, ujian nuklear pada kali ini mencetuskan letupan lebih besar berbanding ujian pada 2006 dan 2009.

Katanya, kumpulan pakar menggunakan sejenis peranti nuklear lebih ringan dan kecil, sekali gus mendedahkan penggunaan bahan plutonium yang amat sesuai bagi kegunaan kepala peluru berpandu.

"Ujian berkenaan berlangsung dengan kawalan keselamatan yang ketat," kata pegawai.

Disember lalu, Pyongyang dikenakan sekatan oleh PBB dan AS selepas melancarkan roket yang dianggap sebagai ujian peluru berpandu. -  DailyMail